Saturday, March 22, 2008

Begitulah Seadanya...

Maka berakhirlah sudah suatu episod drama yang penuh dengan adegan-adegan panas, lucu, aksi, dan apa-apa sahaja yang nak menggambarkan senario politik di negara kita ketika Pilihanraya Umum. Bermacam-macam perkara yang berlaku. Dan kesudahannya banyak negeri yang telah tewas ke tangan parti pembangkang walau pun UMNO begitu yakin bahawa parti pembangkang tidak mampu untuk menang. Di Selangor, Khir Toyo pernah cakap yang BN akan sapu habis.. "zero opposition".. di Pahang pun sama.. "Kita sapu 100% kata Adnan Yaakob". Bantai lah nak cakap ape pun. Najib pun ada cakap Kelantan akan diperintah BN lepas PRU 12 ni. tapi tak jadi ape pun.

Tapi bila dah kalah ni mula la ramai orang BN dah mula merapu.. Ada yang kata, "habis la Pulau Pinang dapat kat cina." Eh? Selama ni Ketua Menteri Pulau Pinang tu orang Melayu ke? Kita tengok apa dah jadi di Pulau Pinang. Yang Datuk Azhar duk bising kata kerajaan baru nak ketepikan orang Melayu. Tapi selama ni terbela SANGAT ke nasib orang Melayu Pulau Pinang di bawah BN? Tak sedar ke dia? Kemudian dia mintak Kerajaan Pusat untuk menghentikan segala projek pembangunan yang telah dirancang untuk Pulau Pinang dan mengeluarkan Pulau Pinang dari projek NCER. Ini siapa yang tak nak bela nasib bangsa sendiri ni? Kerajaan baru ke atau dia? Kalau kerajaan tak menyalurkan segala bantuan dan pembangunan, yang akan merasa bahananya ialah rakyat Pulau Pinang. Dah takde akal agaknya Datuk Azhar ni. Itulah dia bila dah terlalu beremosi akibat kehilangan kuasa. Saya harap Datuk Azhar pentingkan rakyat dari kedudukan politik peribadi. Tolong lah...

Dan antara yang paling mengejutkan... ZAM mintak BN khususnya UMNO untuk berhenti dari mencuba merebut Kelantan dari PAS. Dia kata BN dah banyak menghabiskan wang tetapi tiada hasilnya. Dari satu segi, memang logiklah apa yang dia cakap. Makin besar dia belanja tapi undi untuk PAS di Kelantan makin bertambah. Cuma ada 2 perkara yang saya nak timbulkan di sini.
Yang pertama, inilah kali pertama ZAM mengeluarkan kata-kata yang cerdik semenjak dia duduk dalam kerajaan BN. Selama ni cara dia berkata-kata tu tak macam seorang bekas wartawan. Mungkin kerana nak bodek Pak Lah kuat sangat sampaikan dah macam orang bodoh separuh akal je yang bercakap. Dan perkara yang keduanya, berapa banyakkah duit yang BN tabur untuk seluruh Negeri Kelantan sahaja untuk PRU 12? Saya takkan merasa terkejut kalau perbelanjaan BN untuk Negeri Kelantan mencecah puluhan juta ringgit. Dan banyak mana pulak yang BN dah belanja untuk seluruh negara? Dari mana pulak BN dapat duit? BPR tak nak siasat ke? Takde ke badan kerajaan yang boleh menyiasat perbelanjaan luar biasa BN? Dengan segala iklannya.. Hulur sana-sini.. Bagi beras.. Kain batik.. Basikal.. Kalau mintak rumah banglo kat Bukit Antarabangsa dia tak bagi la.. Kalau ada peruntukan pun baik la orang atas sapu dulu.. Saya terfikir kalau lah duit perbelanjaan Pilihanraya BN ni dapat digunakan untuk kebajikan fakir miskin.. Cuma saya harap sangat duit yang BN belanja tu bukan datangnya dari wang rakyat.

Sebenarnya banyak lagi benda yang nak tulis tentang PRU12 tapi takut jadi novel pulak. Dah terlalu banyak termasuklah pasal orang Melayu yang terlalu seronok bila terima RM500 seorang dari calon BN sedangkan orang asli dapat RM2,000 seorang. Saya cukup kecewa dengan sikap pemimpin-pemimpin Melayu yang sanggup memperbodohkan orang Melayu. Saya bukan hendak bersifat perkauman tetapi mereka-mereka inilah yang sering kali melaungkan kononnya hendak memperjuangkan nasib orang Melayu. Walau apa pun...

"NO MAS CORRUPCIÓN!!! VIVA LA REFORMACIÓN!!!"

Saturday, February 16, 2008

Maaf buat semua..

Aku nak mintak maaf buat semua sebab buat masa ni terlalu sibuk dengan tugas. Ye lah... keje makan gaji... Lagi pun aku bukan ada internet kat rumah sendiri... Sekarang ni pun aku kat Phnom Penh. Nanti aku balik nanti aku sambung balik. Dah ada topik yang bagus untuk dibentang tapi kena tunggu lepas buat research yang agak lengkap la. Baru boleh bagi hujah yang kukuh.

Apa-apa pun... NO MAS CORRUPCIÓN!!! VIVA LA REFORMACIÓN!!!

Saturday, February 2, 2008

Mari Membodohkan Anak Bangsa!

Saya terkejut membaca kenyataan Pak Samad Said bahawa beliau bukan lagi seorang Sasterawan Negara tetapi hanyalah Mantan sahaja. Tapi tak menghairankan bila dikaji balik kenapa Pak Samad mengeluarkan kenyataan tersebut. Kalau kena kat saya sendiri pun saya akan marah. Semuanya disebabkan oleh kenyataan dari Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pelajaran untuk tidak menyenaraikan karya-karya Sasterawan Negara dan juga pemenang-pemenang anugerah sastera untuk dijadikan buku teks bagi komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) mulai tahun 2010. Sebaliknya, bakal digantikan oleh karya-karya picisan berunsurkan komersial tulisan Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Zaid Akhtar. Alasan yang diberikan adalah topik tulisan Sasterawan Negara sangat berat dan tidak sesuai untuk pelajar(?).

Saya tak tau lah yang mana satu yang betul, samada tulisan SN berat untuk pelajar atau pegawai di PPK? Kenapa terlalu mudah untuk mengambil jalan pintas dengan menggantikan karya-karya tersebut dengan novel picisan? Bukankah sebaiknya difikirkan bagaimana cara pengajaran yang berkesan agar pelajar dapat memahami teks sastera tersebut dengan lebih mudah. Setahu saya karya Shakespeare masih lagi menjadi teks Sastera di sekolah-sekolah di England dan juga di negara-negara lain dan seperti yang kita ketahui karya beliau bukanlah karya yang 'ringan'. Kenapa pula kita perlu menukar teks Komsas kepada karya-karya yang mempunyai nilai sastera yang rendah?

Saya tak faham atas kapasiti apa keputusan ini dibuat. Sepatutnya kita berikhtiar untuk memperkembangkan lagi minda pelajar, bukannya membantutkannya lagi . Inikah cara untuk kita memantapkan 'modal insan' (?) atau ianya suatu mainan modal 'under table'?. Saya cuma risau jangan di suatu hari nanti novel berunsur lucah dan tahyul pula yang akan menggantikan novel picisan ini sekiranya ianya juga tidak mendapat sambutan.

Akhir kata, NO MAS CORRUPCIÓN!!! VIVA LA REFORMACIÓN!!!

Friday, February 1, 2008

Al-Fatihah Buat Allahyarham Dato' Ishak Baharum

Pada pagi hari Khamis 31 Januari 2008 saya agak terkejut bila baca berita mengatakan Dato' Ishak Baharum telah pun meninggal dunia. Masa beliau dah tiba. Ajal maut kan dah ditetapkan oleh Allah. Seingat saya beliau mempunyai sikap yang sangat terpuji. Beliau akan mengeluarkan pendapat dengan berpandukan Al-Quran, Hadis dan Ijmak sekalipun tidak disukai oleh para pemimpin kerajaan. Beliau tidak takut atau gentar kerana beliau yakin dengan kebenaran. Pemergian beliau adalah kehilangan yang amat besar bagi masyarakat. Semoga Allah menempatkan roh beliau di kalangan para aulia' dan syuhada'. Al-Fatihah...

Sunday, January 27, 2008

Perhimpunan Membantah Kenaikan Harga Barang.. Apa Dah Jadi..

Aku ke KLCC semalam untuk turut serta dalam Perhimpunan bagi membantah kenaikan harga barang anjuran Gabungan Membantah Kenaikan Harga Barang (PROTES). Aku sampai lewat sikit sebab aku cuma naik pengangkutan awam je. Tu je yang termampu. Tu sebab aku sokong demo bantah kenaikan harga barang ni. Takut nanti langsung jalan kaki pulak nanti.

Aku sampai lebih kurang pukul 3:20 dan suasana dah kecoh. SMS dari Dr Nasir PSM mengatakan beliau dan Arul dah ditangkap. 5 minit kemudian aku terima SMS mengatakan Dr Badrul Amin pun dah ditangkap. Aku pun pergi ke depan Wisma Central sebab depan KLCC penuh dengan polis yang macam nak makan orang je rupa masing-masing. Kat situ aku nampak Mat Sabu tengah melayan beberapa orang peserta demo. Tak lama kemudian dia pulak ditangkap depan mata aku. Selepas tu Demo gagal diteruskan.

Pada pendapat aku, walaupun demo tu digagalkan oleh pihak polis, sebenarnya para penganjur dan juga parti-parti politik yang menyertai demo tu sendiri gagal untuk membuat perancangan yang teratur agar demo tu dapat dijayakan. Kehadiran yang sedikit, tiada koordinasi dan tiada back up plan untuk demo ini terus berjalan. Oleh kerana demo ini melibatkan isu nasional yang mana kenaikan harga barang akan melibatkan semua orang di Malaysia, penganjur sepatutnya menghebahkan perkara ini kepada orang awam di mana ada kesempatan tak kira di mana jua. Aku rasa tujuan demo ni untuk memberi tekanan kepada kerajaan agar tidak menaikkan harga barang. Jadi, kenapa tidak melibatkan lebih ramai orang di dalam demo ni? Aku rasa kalau lebih ramai yang datang, polis pun tak berani nak bertindak sewenang-wenangnya. Takpe. Lain kali kita perbaiki lagi kesilapan kita. Mari kita belajar dari kesilapan.

Dan yang pihak polis ni pulak lagi satu hal. Dah takde akal ke? Orang buat demo nak bantah kenaikan harga barang. Kalau berjaya, korang jugak yang mendapat manfaat. Dia macam tak bersetuju pulak kita nak mintak kerajaan tak naikkan harga barang. Dia suka agaknya kalau harga barang tu naik nanti. Kalau dah macam ni aku nak cadangkan kat kerajaan, bagi setiap kenaikan harga barang, untuk anggota polis pulak caj extra RM1. Kalau nanti minyak naik jadi RM2.30 seliter, polis bayar RM3.30. Tak kira apa pun barang biar dia bayar lebih RM1. Dah banyak sangat kut gaji diorang ni sampai tak bagi kita bantah kenaikan harga barang.

Selepas semua tahanan dibawa ke IPKKL saya turut ke sana sambil menunggu tahanan dibebaskan. Lagi macam-macam hal. Dengan peguam tak dibenarkan masuk, tiada maklumat mutakhir, makanan lewat sampai ke tahanan, polis tidak pasti siapa pegawai yang telah menangkap setiap tahanan dan bermacam hal lagi. Tapi apa yang saya nampak, cuma aktivis-aktivis politik sahaja yang hadir. Mereka telah mengutip derma untuk membeli makanan untuk tahanan, berteriakkan slogan perjuangan untuk memberi semangat kepada tahanan, menanti berita yang dibawa oleh peguam, membakar lilin sambil menunggu tahanan dibebaskan. Hampir jam 1 pagi kami terpaksa bersurai. FRU telah menghantar trak yang menunggu di simpang jalan menaiki IPKKL bertentangan dengan penjara pudu. Hanya 14 orang yang dibebaskan termasuk seorang wanita yang mengandung dan juga seorang juvana. Selebihnya di reman di Penjara Pudu pada jam 2 petang Ahad 27/1/2008. Dan mutakhir yang saya baca dari Suara Keadilan Online, Tian Chua, Dr Hatta Ramli dan Arulchelvam ditahan di Balai Polis Hang Tuah dan akan dibawa ke Mahkamah Jalan Duta pada hari Isnin 28/1/2008.

Tapi saya kecewa dengan sikap kerajaan dan juga polis yang tidak membenarkan rakyat berhimpun secara aman untuk membantah kenaikan harga barang. Bukankah kerajaan sepatutnya menjaga kebajikan rakyat? Atau adakah kerajaan kita telah mengubah polisi untuk lebih menjaga kebajikan para peniaga walaupun rakyat sendiri tertindas? Apa dah jadi... Papalih... Dahsyat... Hebat... Fantastic... Bombastik...

Akhir kata, NO MAS CORRUPCIÓN!!! VIVA LA REFORMACIÓN!!!

Thursday, January 24, 2008

Sekalung takziah..

Pagi ini saya diberitahu bahawa Tan Sri Megat Junid Megat Ayob telah pun meninggal dunia. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah..

Wednesday, January 23, 2008

Koi dah 'jeran..'

Aku bagitau seorang kawan yang aku dah buat blog sendiri. Dia tanya apa yang aku nak tulis kat blog aku. Aku pun bagitau apa saja yang aku rasakan perlu aku suarakan. "Termasuk bab politik ke?", tanya dia lagi. Aku cakap, "Terutama sekali yang berkenaan dengan politik. Memang aku dah lama tak puas hati dengan cara BN kendalikan kerajaan. Terlalu banyak kepincangan dan juga salahguna kuasa. Sampai bila kita nak diamkan je semua perkara yang buruk ni?" Kemudian dia tanya aku satu soalan cepumas, "Ko tak risau ke kalau kene ISA?"

ISA? Biar ape A sekalipun aku dah tak peduli. Kita ada hak untuk bersuara. Takkan la kita nak biar macam tu je bila kerajaan disalahgunakan untuk kepentingan BN. Sepatutnya kerajaan berkhidmat untuk rakyat tak kira apa agama, bangsa mau pun bahasa. Aku mesti bersuara sebab aku dah bosan tengok gejala penyalahgunaan kuasa, rasuah, kronisma dan pelbagai lagi keburukan yang semakin teruk. Atau dalam erti kata lain...

"Koi dah jeran..."

- NO MAS CORRUPCIÓN!!! VIVA LA REFORMACIÓN!!! -